Isnin, 20 April 2009

Tangisan Cinta..


Setiap manusia pasti menangis di sesetengah waktu dalam hidupnya. Ada yang menangis kerana sedih dan ada pula sebaliknya. Sesetengah kita mungkin tidak sedar menangis juga boleh memberi kerugian dan sebaliknya. Sangat rugi sekiranya kita mencurahkan airmata kerana kehilangan sesuatu tanpa muhasabah hikmah di sebaliknya. Ruginya jika airmata dicurahkan kerana putus cinta dengan pasangan. Kenapa tidak airmata dicurahkan bila mengenang dosa yang kita lakukan, kenapa kita tidak menangis bila hati selalu berbuat dosa; berasa dengki, cemburu? mengapa tidak menagis bila lidah selalu berbuat dosa; mengadu domba, berbuat fitnah, memutuskan silaturrahim? dan mengapa kita tidak menangis kerana terlalu cinta pada Allah, rindu untuk bertemu denganNya? alangkah ruginya kita selama ini..

Majalah Solusi Isu No 6 banyak membincangkan tentang mencari bahagia. Salah seorang kolumnis, Ustaz Adlan Abdul Aziz* telah menyentuh tentang tangisan yang membawa keredhaan Allah. Beliau merujuk kepada kitab Riyadhus Solihin tulisan Imam al-Nawawi yang telah mengkhususkan satu bab khas tentang "Kelebihan Menangis kerana Takut dan Rindu kepada Allah."

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang kelebihan tangisan kerana takutkan Allah. Imam Nawawi memulakan bab ini dengan dua ayat al-Quran iaitu ayat 109 daripada surah al-Isra' yang bermaksud:{"Dan mereka menundukkan kepala lalu menangis. Maka itu menambahkan khusyu' pada diri mereka."}
Ayat kedua ialah ayat 59-60 daripada surah al-Najm yang bermaksud:{"Apakah dengan mendengar al-Quran ini mereka hairan? Lalu mereka ketawa dan tidak menangis?"}.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, diceritakan oleh sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Mas'ud. Beliau menceritakan, suatu hari Rasulullah SAW datang kepadanya dan menyuruh beliau membacakan ayat-ayat Quran. Abdullah bin Mas'ud kehairanan lalu berkata: adakah aku perlu membacakannya untukmu sedangkan al-Quran itu diturunkan untukmu?". Maka Rasulullah SAW menjawab: "Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang selainku." Maka beliau membaca beberapa ayat daripada surah al-Nisa'. Apabila sampai kepada ayat 41 yang bermaksud:{"Maka bagaimanakah keadaannya apabila Kami mendatangkan daripada setiap umatku itu (di akhirat) dengan seorang saksi dan Kami membawamu (wahai Muhammad) sebagai saksi kepada mereka semua."} Maka ketika itu Rasulullah SAW bersabda kepada Abdullah bin Mas'ud."Cukuplah setakat ini." Lalu Abdullah bin Mas'ud berpaling kepada Rasulullah dan beliau terlihat airmata Rasulullah SAW mengalir menangisi kerana menghayati ayat-ayat suci tersebut. Beginilah tangisan kerana mengenangkan keadaan di akhirat. Alangkah sucinya airmata itu!.

Imam al-Nawawi juga membawa hadith lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim berkaitan dengan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Antara sabda Baginda:"Kalaulah kamu semua mengetahui apa yang aku tahu, pasti sedikit ketawamu dan banyak tangisanmu." Maka ketika itu, Anas bin Malik berkata:"Para sahabat ketika itu telah menutup wajah mereka dan menangis teresak-esak."
Hadith ini menunjukkan begitu mendalam kefahaman para sahabat dalam menghayati pesana n tersirat daripada Junjungan Besar Nabi Muhammmad SAW.

Dalam sebuah lagi hadith juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Dalam hadith ini Baginda SAW telah menceritakan tentang tujuh golongan yang bakal mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak. Bermula dengan pemimpin yang adil, orang muda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah, seseorang yang sentiasa terpaut hatinya pada masjid, dua insan yang berkasih kerana Allah, seorang lelaki yang menolak maksiat sehinggalah seorang lelaki yang ikhlas memberikan sedekah. Dan golongan yang ketujuh menurut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Seseorang yang mengingati Allah SWT seorang diri hingga mengalir airmatanya." Inilah orang yang begitu ikhlas mengingati Allah SWT dengan segala kurniaanNya lalu dia insafi pula segala kekurangan dirinya dalam mensyukuri ni'mat itu, lalu mengalir airmatanya kerana pelbagai emosi; cinta, kasih, malu dan takut kepada Allah SWT.

Mampukah kita sampai ke tahap itu? Kita memang takut pada balasan Allah hingga kita mampu meninggalkan zina, tidak minum arak, tidak meninggalkan solat. Persoalannya mampukah kita takut pada Allah hingga kita boleh meninggalkan dosa seperti umpat, keji, fitnah, hasad dengki, adu domba, memutuskan silaturrahim, lalai dengan hiburan?

Kita berdoa moga kita dikurniakan ni'mat yang tidak terhinggga ini- ni'mat tangisan kerana mengingati Allah SWT, takut dan cinta serta kasih kepada-Nya. Sesungguhnya tangisan ini tidak sia-sia dan tidak terbuang begitu sahaja. Tangisan inilah ang menyelamatkan kita di dunia ini malah ia sudah pasti ada harganya di negeri yang kekal abadi. Moga kita terdiri dalam golongan manusia yang bahagia di akhirat..amin!


* Ustaz Adlan Abd Aziz lulusan bidang Pengajian Bahasa Arab, Univ. al-Bayt, Jordan. Kini berkhidmat sebagai seorang guru di SMK Segambut Jaya, KL.

2 ulasan: