Saya sangat tertarik dengan tazkirah dari Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat tentang kelebihan zikir Lailaha Illalah. Dalam tazkirah tersebut Tuan Guru ada mengulas tentang hadith Nabi SAW di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:" manusia ahli Lailaha Illallah tidak akan merasa sunyi dan dukacita ketika dalam kubur dan akan bangkit daripadanya, seolah-olah mereka bangun dengan menguis tanah di atas kepalanya dengan berkata:, 'segala puji bagi Allah yang telah menyingkir perasaan sedih dan dukacita daripada hatiku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan tempatku memohon ampun dan bersyukur.' "
Kesepian dan dukacita merupakan bala azab yang menyeksa jiwa manusia lebih-lebih lagi di alam barzakh yang keadaannya seorang diri. Bayangkan jika seseorang terdampar di gurun padang pasir, yang lengang tanpa kicau burung dan manusia. Pastinya sepi mencengkam jiwa. Tidak akan berlaku kesepian dan kesunyian di daam kubur apabila semasa hayatnya menyebut dengan ikhlas dan sebanyak mungkin kalimah Lailha Illallah.
Apabila dilazimkan berzikir Lailaha Illallah ketika ingat dan sedar, insyaAllah lidah akan sering bergetar menyebutnya ketika hati dalam situasi biasa.
Apa yang menjadi masalah adalah kelaziman bagi orang awam yang bertahlil hanya ketika berada dalam majlis rasmi di masjid atau majlis kenduri, waktu selebihnya lidah sepi tanpa zikir.
Gambaran Rasulullah tentang manusia di akhirat nanti, di mana manusia tidak tahu ke mana hendak dituju selepas dibangkitkan dari kubur, seluruh manusia berhimpun di Mahsyar. Mereka mencari Rasulullah SAW untuk mendapatkan pertolongan, tetapi tidak tahu di mana. Meskipun ramai manusia berhimpun di Mahsyar, namun mereka bagaikan tidak berteman dan masing-masing dengan urusan yang hendak diselesaikan. Sebagaimana dinyatakan firman Allah SWT yang bermaksud:"Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, lari daripada ibu bapanya, daripada isteri dan anaknya, setiap daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan."(Surah 'Abasa:34-37).
Hanya dengan memperbanyakkan zikir Lailaha Illalah semasa hidup di dunia ini dengan sebutan yang ikhlas akan mendapat fadhilat yang besar dari Allah. Maksud ikhlas di sini ialah lafaz dengan penuh keyakinan bahawa tiada Tuhan yang lebih berkuasa selain Allah, tidak berkehendak kecuali kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, Maha Bijaksana. Layaklah mereka mendapat balasan syurga kerana mengucap Lailaha Illallah benar-benar bertauhid kepada-Nya. Dengan keyakinan berasaskan tauhid kepada Allah SWT akan mencapai kemuncak ni'mat.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Ya Abu Hurairah, segala kebajikan yang kamu buat sama ada dalam bentuk amalan atau ucapan akan ditimbang di akhirat kecuali ucapan Lailaha Illallah, tidak akan ditimbang dengan mizan biasa. Kalau ceper timbang yang sebelah di letak langit tujuh petala serta isinya, ceper yang sebelah lagi diletakkan ucapan Lailaha Illallah nescaya ia lebih berat lagi".
Rasulullah juga ada berwasiat kepada Abu Hurairah supaya mengajarkan orang yang hampir mati dengan ucapan Lailaha Illallah kerana ia akan meruntuhkan segala dosanya. Ini menunjukkan bahawa jika kalimah ini diucapkan oleh orang yang masih hidup ia lebih meruntuhkan lagi dosa-dosanya.
Oleh itu hendaklah dengan ikhlas menyebut Lailaha Illallah sebanyak mungkin sebelum seseorang itu disekat oleh takdir Allah SWT khusunya ajal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan