Isnin, 27 April 2009

Hati Mati..

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan adalah nikmat paling agung yang diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat. Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.

Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: "Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: {"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." } (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14).

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: {"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan."} (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah. Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud: {"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata."} (Surah al-Zumar ayat 22)

Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud: {"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia."} (Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud: {"Hati yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik."} (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
  • Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
  • Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
  • Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
  • Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
  • Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
  • Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
  • Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
  • Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
  • Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
  • Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.
Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT. Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya; Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu :
  • Hubbul dunia (kasihkan dunia)
  • Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
  • Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu :
  • Zuhud dengan dunia
  • Zikrullah
  • Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah
Jgalah hati, cintailah Allah, insyaAllah moga rahmah dan kasihsayangNYa menaungi hidup kita semua..amin!

Artikel ini dipetik dari www.iluvislam.com, tulisan Ustaz Zianudin Hashim.

Isnin, 20 April 2009

Tangisan Cinta..


Setiap manusia pasti menangis di sesetengah waktu dalam hidupnya. Ada yang menangis kerana sedih dan ada pula sebaliknya. Sesetengah kita mungkin tidak sedar menangis juga boleh memberi kerugian dan sebaliknya. Sangat rugi sekiranya kita mencurahkan airmata kerana kehilangan sesuatu tanpa muhasabah hikmah di sebaliknya. Ruginya jika airmata dicurahkan kerana putus cinta dengan pasangan. Kenapa tidak airmata dicurahkan bila mengenang dosa yang kita lakukan, kenapa kita tidak menangis bila hati selalu berbuat dosa; berasa dengki, cemburu? mengapa tidak menagis bila lidah selalu berbuat dosa; mengadu domba, berbuat fitnah, memutuskan silaturrahim? dan mengapa kita tidak menangis kerana terlalu cinta pada Allah, rindu untuk bertemu denganNya? alangkah ruginya kita selama ini..

Majalah Solusi Isu No 6 banyak membincangkan tentang mencari bahagia. Salah seorang kolumnis, Ustaz Adlan Abdul Aziz* telah menyentuh tentang tangisan yang membawa keredhaan Allah. Beliau merujuk kepada kitab Riyadhus Solihin tulisan Imam al-Nawawi yang telah mengkhususkan satu bab khas tentang "Kelebihan Menangis kerana Takut dan Rindu kepada Allah."

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran yang menyentuh tentang kelebihan tangisan kerana takutkan Allah. Imam Nawawi memulakan bab ini dengan dua ayat al-Quran iaitu ayat 109 daripada surah al-Isra' yang bermaksud:{"Dan mereka menundukkan kepala lalu menangis. Maka itu menambahkan khusyu' pada diri mereka."}
Ayat kedua ialah ayat 59-60 daripada surah al-Najm yang bermaksud:{"Apakah dengan mendengar al-Quran ini mereka hairan? Lalu mereka ketawa dan tidak menangis?"}.

Sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, diceritakan oleh sahabat Nabi SAW, Abdullah bin Mas'ud. Beliau menceritakan, suatu hari Rasulullah SAW datang kepadanya dan menyuruh beliau membacakan ayat-ayat Quran. Abdullah bin Mas'ud kehairanan lalu berkata: adakah aku perlu membacakannya untukmu sedangkan al-Quran itu diturunkan untukmu?". Maka Rasulullah SAW menjawab: "Sesungguhnya aku suka mendengarnya daripada orang selainku." Maka beliau membaca beberapa ayat daripada surah al-Nisa'. Apabila sampai kepada ayat 41 yang bermaksud:{"Maka bagaimanakah keadaannya apabila Kami mendatangkan daripada setiap umatku itu (di akhirat) dengan seorang saksi dan Kami membawamu (wahai Muhammad) sebagai saksi kepada mereka semua."} Maka ketika itu Rasulullah SAW bersabda kepada Abdullah bin Mas'ud."Cukuplah setakat ini." Lalu Abdullah bin Mas'ud berpaling kepada Rasulullah dan beliau terlihat airmata Rasulullah SAW mengalir menangisi kerana menghayati ayat-ayat suci tersebut. Beginilah tangisan kerana mengenangkan keadaan di akhirat. Alangkah sucinya airmata itu!.

Imam al-Nawawi juga membawa hadith lain yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim berkaitan dengan khutbah yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Antara sabda Baginda:"Kalaulah kamu semua mengetahui apa yang aku tahu, pasti sedikit ketawamu dan banyak tangisanmu." Maka ketika itu, Anas bin Malik berkata:"Para sahabat ketika itu telah menutup wajah mereka dan menangis teresak-esak."
Hadith ini menunjukkan begitu mendalam kefahaman para sahabat dalam menghayati pesana n tersirat daripada Junjungan Besar Nabi Muhammmad SAW.

Dalam sebuah lagi hadith juga diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Dalam hadith ini Baginda SAW telah menceritakan tentang tujuh golongan yang bakal mendapat naungan Allah SWT di akhirat kelak. Bermula dengan pemimpin yang adil, orang muda yang membesar dalam ketaatan kepada Allah, seseorang yang sentiasa terpaut hatinya pada masjid, dua insan yang berkasih kerana Allah, seorang lelaki yang menolak maksiat sehinggalah seorang lelaki yang ikhlas memberikan sedekah. Dan golongan yang ketujuh menurut sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Seseorang yang mengingati Allah SWT seorang diri hingga mengalir airmatanya." Inilah orang yang begitu ikhlas mengingati Allah SWT dengan segala kurniaanNya lalu dia insafi pula segala kekurangan dirinya dalam mensyukuri ni'mat itu, lalu mengalir airmatanya kerana pelbagai emosi; cinta, kasih, malu dan takut kepada Allah SWT.

Mampukah kita sampai ke tahap itu? Kita memang takut pada balasan Allah hingga kita mampu meninggalkan zina, tidak minum arak, tidak meninggalkan solat. Persoalannya mampukah kita takut pada Allah hingga kita boleh meninggalkan dosa seperti umpat, keji, fitnah, hasad dengki, adu domba, memutuskan silaturrahim, lalai dengan hiburan?

Kita berdoa moga kita dikurniakan ni'mat yang tidak terhinggga ini- ni'mat tangisan kerana mengingati Allah SWT, takut dan cinta serta kasih kepada-Nya. Sesungguhnya tangisan ini tidak sia-sia dan tidak terbuang begitu sahaja. Tangisan inilah ang menyelamatkan kita di dunia ini malah ia sudah pasti ada harganya di negeri yang kekal abadi. Moga kita terdiri dalam golongan manusia yang bahagia di akhirat..amin!


* Ustaz Adlan Abd Aziz lulusan bidang Pengajian Bahasa Arab, Univ. al-Bayt, Jordan. Kini berkhidmat sebagai seorang guru di SMK Segambut Jaya, KL.

Isnin, 6 April 2009

LAILAHA ILLALLAH..


Saya sangat tertarik dengan tazkirah dari Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz bin Nik Mat tentang kelebihan zikir Lailaha Illalah. Dalam tazkirah tersebut Tuan Guru ada mengulas tentang hadith Nabi SAW di mana Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:" manusia ahli Lailaha Illallah tidak akan merasa sunyi dan dukacita ketika dalam kubur dan akan bangkit daripadanya, seolah-olah mereka bangun dengan menguis tanah di atas kepalanya dengan berkata:, 'segala puji bagi Allah yang telah menyingkir perasaan sedih dan dukacita daripada hatiku, sesungguhnya Engkaulah Tuhan tempatku memohon ampun dan bersyukur.' "

Kesepian dan dukacita merupakan bala azab yang menyeksa jiwa manusia lebih-lebih lagi di alam barzakh yang keadaannya seorang diri. Bayangkan jika seseorang terdampar di gurun padang pasir, yang lengang tanpa kicau burung dan manusia. Pastinya sepi mencengkam jiwa. Tidak akan berlaku kesepian dan kesunyian di daam kubur apabila semasa hayatnya menyebut dengan ikhlas dan sebanyak mungkin kalimah Lailha Illallah.

Apabila dilazimkan berzikir Lailaha Illallah ketika ingat dan sedar, insyaAllah lidah akan sering bergetar menyebutnya ketika hati dalam situasi biasa.

Apa yang menjadi masalah adalah kelaziman bagi orang awam yang bertahlil hanya ketika berada dalam majlis rasmi di masjid atau majlis kenduri, waktu selebihnya lidah sepi tanpa zikir.

Gambaran Rasulullah tentang manusia di akhirat nanti, di mana manusia tidak tahu ke mana hendak dituju selepas dibangkitkan dari kubur, seluruh manusia berhimpun di Mahsyar. Mereka mencari Rasulullah SAW untuk mendapatkan pertolongan, tetapi tidak tahu di mana. Meskipun ramai manusia berhimpun di Mahsyar, namun mereka bagaikan tidak berteman dan masing-masing dengan urusan yang hendak diselesaikan. Sebagaimana dinyatakan firman Allah SWT yang bermaksud:"Pada hari ketika manusia lari daripada saudaranya, lari daripada ibu bapanya, daripada isteri dan anaknya, setiap daripada mereka pada hari itu mempunyai urusan yang cukup menyibukkan."(Surah 'Abasa:34-37).

Hanya dengan memperbanyakkan zikir Lailaha Illalah semasa hidup di dunia ini dengan sebutan yang ikhlas akan mendapat fadhilat yang besar dari Allah. Maksud ikhlas di sini ialah lafaz dengan penuh keyakinan bahawa tiada Tuhan yang lebih berkuasa selain Allah, tidak berkehendak kecuali kepada Allah Yang Maha Berkuasa, Maha Kaya, Maha Bijaksana. Layaklah mereka mendapat balasan syurga kerana mengucap Lailaha Illallah benar-benar bertauhid kepada-Nya. Dengan keyakinan berasaskan tauhid kepada Allah SWT akan mencapai kemuncak ni'mat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:"Ya Abu Hurairah, segala kebajikan yang kamu buat sama ada dalam bentuk amalan atau ucapan akan ditimbang di akhirat kecuali ucapan Lailaha Illallah, tidak akan ditimbang dengan mizan biasa. Kalau ceper timbang yang sebelah di letak langit tujuh petala serta isinya, ceper yang sebelah lagi diletakkan ucapan Lailaha Illallah nescaya ia lebih berat lagi".

Rasulullah juga ada berwasiat kepada Abu Hurairah supaya mengajarkan orang yang hampir mati dengan ucapan Lailaha Illallah kerana ia akan meruntuhkan segala dosanya. Ini menunjukkan bahawa jika kalimah ini diucapkan oleh orang yang masih hidup ia lebih meruntuhkan lagi dosa-dosanya.

Oleh itu hendaklah dengan ikhlas menyebut Lailaha Illallah sebanyak mungkin sebelum seseorang itu disekat oleh takdir Allah SWT khusunya ajal.

Ahad, 5 April 2009

Mencari Cinta Agung


Alhamdulillah saya berpeluang membaca buku yang menarik dan informatif coretan Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni bertajuk "JAGALAH ALLAH... ALLAH MENJAGAMU". Buku ini telah diterjemah oleh H. Sarwedi M. Hsb, disunting oleh Noraine Abu dan diterbitkan oleh Al-Hidayah Publishers.

Saya ingin sekali berkongsi dengan anda semua tentang coretan Dr Aidh di bab pertama buku tersebut iaitu tentang Cinta yang Agung. Bagi manusia yang terlalu mengejar kehendak fizikal tanpa mengharapkan kehendak spiritual sudah tentu tak dapat merasa ni'mait cinta yang Agung. Beruntunglah bagi manusia yang sentiasa mengharapkan cinta yang Agung ini dan rugilah bagi manusia yang lansung tidak kisahkan cinta ini.

Dalam bab ini, Dr Aidh ada menerangkan tentang cara-cara bagaimana untuk meraih cinta Allah SWT. Secara kesimpulannya, ada 4 cara utama:

  1. Kitab Suci Al-Quran Al-karim;

  2. Melepaskan Dunia dan Zuhud Terhadapnya;

  3. Qiyamullai;

  4. Merenung tanda-tanda kebesaran Allah SWT.

  • Dengan membaca Al-Quran;

Inilah cara yang paling besar manfa'at dan paling disukai Allah SWT kerana Al-Quran adalah kitab yang agung yang diwasiatkan oleh Rasulullah SAW.

Dalam kitab Shahih Muslim, daripada Abi Umamah r.a, Rasulullah SAW bersabda: "bacalah Al-Quran kerana ia akan memberikan syafa'at kepada sesiapa sahaja yang gemar membacanya pada hari akhirat kelak".

Oleh kerana itu, Rasululllah SAW sentiasa memposisikan darjat manusia sesuai dengan kadar interaksi mereka dengan Al-Quran. Beginilah kriteria yang diajarkan oleh Islam, yang paling mulia dan yang paling utama adalah komitmen kepada prinsip 'La Ilaha Illallah' dan orang-orang yang cintakan Allah.

Rasulullah SAW ada bersabda (daripada Abdullah bin Abbas r.a): "sesungguhnya orang yang tidak ada sama sekali Al-Quran di dalam dirinya, bagaikan rumah yang hancur lebur". Inilah yang digambarkan oleh Rasulullah bagi manusia yang tidak meraih cinta Allah dengan Al-Quran. Hati yang tidak sedikit pun diisi dengan keindahan Al-Quran akan terisi dengan kemunafikan, kebingungan, kesedihan, keresahan dan kehausan cinta yang Agung. Baginda SAW adalah orang paling banyak tersentuh hatinya dan sangat prihatin pada Al-Quran.

Inilah cara pertama yang dapat saya katakan cara yang paling mudah untuk meraih cinta Allah. beruntunglah bagi manusia yang sentiasa hidup dengan Al-Quran, berinteraksi dengannya, mentaddaburinya dan mengulang-ulanginya serta menagamalkan nya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang meraih cinta yang Agung ini dengan Al-Quran..amin!!


  • melepaskan dunia dan zuhud terhadapnya.

Ramai yang silap sangka dengan pengertian zuhud terhadap dunia. Ramai yang menyangka yang kita harus meninggalkan kehendak fizikal secara total. Pengertian zuhud yang sebenar adalah dengan mengambil sesuatu yang bermanfa'at daripada dunia ini sehingga tidak terlalu sibuk dengannya dan lalai terhadap tuntutan akhirat.

Allah berfirman dalam Al-Jathiyah:23:"{maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya berdasarkan ilmuNya (maksudnya; bahawa Allah membiarkan orang itu sesat kerana Allah telah mengetahui bahawa dia tidak menerima petunjuk-petunjuk yang diberikan kepadanya)...}".

Allah mengambarkan di sini betapa ruginya golongan yang bertuhankan hawa nafsu hingga lalaikan Tuhan yang satu. Golongan ini bukan sahaja jauh dari cinta Allah malah jauh dari perhatianNya.

Rasulullah ada bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada Sahl bin Sa'ad r.a:"bersikap zuhudlah kamu terhadap kehidupan dunia ini, nescaya Allah akan mencintaimu dan bersikap zuhudlah kamu terhadap sesuatu yang dimiliki oleh manusia, maka manusia akan akan mencintaimu."

Ini adalah salah satu peringkat yang paling agung dalam meraih cinta Allah, dengan mengeluarkan kecintaannya terhadap dunia dari dalam hatinya dan digantikan dengan kecintaan kepada Allah semata-mata. Rasulullah SAW sentiasa mengingatkan kita semua supaya berwaspada dengan kecintaan dan penghambaan yang total kepada dunia. Ramai di kalangan manusia yang menjadi hamba harta, hamba kemewahan dan ada juga yang menjadi hamba pangkat dan jawatan tanpa mengambil kisah tentang kehambaan pada Allah.

  • Qiyamullai

Allah SWT menggambarkan salah satu karekteristik hambaNya yang bertaqwa adalah yang gemar melakukan Qiyamullai seperti dalam firmanNya: "{di dunia mereka sedikit sekali tidur di waktu malam. Dan selalu memohon keampunan di waktu pagi sebelum fajar}". (Adz-Dzariyat:17-18).

Qiamulallai boleh kita laksanakan walaupun hanya melakukan solat sunat dua raka'at sebelum waktu subuh tiba agar kita termasuk dalam golongan orang-orang yang sentiasa mengharapkan cinta Allah SWT. Daripada Abu Hurairah r.a berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:"Allah SWT turun ke langit dunia, tatkala sepertiga malam masih tersisa, Allah menyeru:"Adakah di antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya Aku mengabulkan permintaannya?Adakah di antara hambaKu yang meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah di antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya."

Qiyamullai merupakan salah satu sunnah yang diajarkan oleh Rasulullah SAW dan sebagai lambang kejayaan Islam. Kalau kita sudah kehilangannya, maka kita akan kehilangan nilai-nilai keimanan, muhasabatun nafs, ni'mat ibadah dan cinta kepada Allah.


  • Merenung tanda-tanda kebesaran Allah.

Allah berfirman:"{Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal, (iaitu) orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata):"Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami daripada seksa neraka.}"(Ali-'Imran:190-191).

Perenungan dan penghayatan adalah cara yang penting untuk menuju kepada penghambaan yang hakiki kepada Allah SWT. Inilah bentuk ibadah orang-orang yang berbahagia yang sentiasa merenungi tanda-tanda kebesaran Allah yang nyata di samping merenungi betapa ajaib dan indahnya Tuhan langit dan bumi.

Itulah antara cara-cara meraih cinta Allah. Anda semua boleh mendapatkan buku tersebut untuk mendapatkan ulasan yang lebih terperinci. Semoga kita semua termasuk dalam golongan yang sentiasa meraih cinta yang Agung dan Hakiki..amin.

Jumaat, 3 April 2009

Mencari Bahagia Hakiki...


Ada satu artikel menarik tentang kebahagiaan yang dikutip dari www.islamonline.com. Kesimpulan yang dapat diambil dari artikel tersebut adalah seperti berikut:

  • Kebahagiaan yang hakiki adalah pada kebahagiaan rohaniah. Manusia takkan dapat cari kebahagiaan dan ketenangan sekiranya hanya mengejar kehendak fizikal tanpa memenuhi kehendak spititual.

  • Kebahagiaan spiritual hanya dapat diperolehi dengan mengenal Allah.
  • Mengenal Allah adalah dengan mengenali diri sendiri;siapa kita? kenapa kita di sini? ke mana kita selepas ini? apa yang kita cari?
  • Ramai orang terpedaya dengan pesona material. Mereka menyangka mereka bahagia, namun umpama meminum air di lautan semakin diminum semakin haus.

Anda boleh baca artikel tersebut di bawah ini:

Each individual is equipped with sublime emotions, has a natural disposition toward virtue, and is fascinated with eternity. Even the most wretched-looking person has a rainbow-like atmosphere in his or her spirit comprised of the thought of eternity, love of beauty, and virtuous feeling.

If people can develop these most basic, inherent elements of their being, they can rise to the highest ranks of humanity and attain eternity.

People are true human beings not in the mortal, material aspect of their existence, but rather in the attraction of their spirits to eternity and in their efforts to find it. For this reason, those who disregard their innate spiritual aspect and concentrate only on their physical existence will never find true peace and contentment.

The happiest and most fortunate people are those who are always intoxicated with ardent desire for the worlds beyond. Those who confine themselves within the narrow and suffocating limits of their bodily existence are really in prison, even though they may be living in palaces.

Our first and foremost duty is to discover ourselves and then turn toward our Lord through the illuminated prism of our nature. Those who remain unaware of their true nature, and who therefore cannot establish any contact with their Most High Creator, spend their lives like coolies who are ignorant of the treasure they are carrying on their backs.

All human beings are essentially helpless. However, they discover an extraordinary competence by depending on the infinitely Powerful One, for this dependence transforms them from a drop into a waterfall, a particle into a sun, and a beggar into a king.

Our familiarity with the "book" of existence and events, and our establishment of a unity between ourselves and that book, causes sparks of wisdom to appear in our hearts. We begin to recognize our essential nature and obtain knowledge of God through the light of those sparks. Finally, we reach God.

To attain this goal, however, we must not set out this (mental) journeying with a mind conditioned by (biased and prejudiced toward) atheism and materialism. Those who are truly human interact with other living beings in the consciousness of personal duty to them and within the limits of need. Those who abandon themselves to bodily desires and pleasure go beyond what is allowed, and therefore cannot maintain the proper distance or balance between duty and desire.

Khamis, 2 April 2009

Mengajar Anak Mengenal Tuhan

Sejak bila seseorang itu perlu dikenalkan dengan Allah? Jawapannya, sejak kanak-kanak lagi. Di sini ada satu artikel menarik tentang perkara asas dalam pendidikan anak (Bagaimana dengan keluarga anda?). Artikel ini dikutip daripada blog AbiMuslih MamaFarhah:

Dalam tulisan kami yang lepas, kami telah catatkan betapa signifikannya pendidikan iman–dan betapa ramai ibu bapa Muslim yang cuai dalam mendidik iman. Hari ini ingin kami memberikan lima lima garis besar pendidikan iman yang sewajarnya menjadi pedoman setiap ibu bapa.

Pertama, jadikan perkataan syahadah iaitu La ilaha illa Allah sebagai kalimah awal yang didengari dan disebut oleh anak-anak. Seruan ini terbukti dalam gesaan Baginda SAW agar anak-anak di sambut menjelang kelahiran dengan kalimah-kalimah azan, yang turut mengandungi ucapan syahadah.

Selain dari azan, para ibu bapa juga harus berikhtiar agar anak-anak mampu menyebut perkataan ‘Allah’. Di samping anak-anak diajar perkataan-perkataan ‘susu’, ‘air’, ‘mama’, ‘abah’ atau sebagainya, ajarlah bersama-sama perkataan ‘Allah’.

Walau pun sebutannya agak sukar di peringkat awal, namun kebolehan anak itu menyebut perkataan ‘Allah’ akan menjadi satu tapak kukuh dalam usaha tarbiyah keimanan. Bahkan, perkataan ‘Allah’ ini tentunya merupakan zikir mempunyai kelebihan yang boleh membawa kepada ketenangan dan keceriaan kepada anak-anak, atau mungkin seribu macam kehebatan yang kita tidak sedari.

Selepas dibiasakan perkataan ‘Allah’, ibu bapa boleh teruskan mengajar anak-anak agar mampu menyebut kalimah syahadah. Seterusnya apabila anak-anak itu sudah boleh memahami, ibu bapa perlu pula menerangkan maksud kalimah syahadah itu dengan cara yang mudah difahami.


Kedua, Rasulullah SAW meminta agar anak-anak didedahkan dengan sempadan hidup iaitu soal halal dan haram. Anak-anak perlu didedahkan dengan istilah-istilah berikut iaitu: ‘baik’ dan ‘tak baik’; istilah ‘Allah suka’ dan ‘Allah tak suka’; istilah ‘masuk syurga’ dan ‘masuk neraka’; iatilah ‘dosa’ atau ‘pahala’; atau istilah ‘boleh’ dan ‘tak boleh’. Istilah-istilah ini bertujuan untuk memahamkan anak-anak bahawa kehidupan ini mempunyai batas-batas yang ditetapkan oleh Allah, dan setiap apa yang dilakukan mempunyai implikasi dosa pahala.
Sesetengah pihak mungkin berpandangan bahawa teknik ini akan menyekat ruang fikiran anak-anak, dan membantut pemikiran kritis dan kreatif. Pandangan ini adalah tidak tepat kerana, batas-batas yang ditetapkan kepada anak-anak ini adalah sesuatu yang bersumberkan dari Allah yang mencipta manusia.

Batasan itu bukannya sesuatu yang sengaja dicipta oleh ibu bapa dan digunakan secara sewenang-wenangnya. Bahkan ibu bapa sepatutnya menggalakkan anak-anak berfikir secara kreatif dan terbuka dalam perkara-perkara yang tidak dibataskan oleh syara’. Perlu diingat bahawa pembinaan keimanan melalui pengawasan kepada hukum Allah perlu diterapkan sejak anak masih kecil. Sikap liberal yang berlebihan akan menyebabkan anak-anak itu hilang pedoman, dan teraba-raba mencari laluan hidup apabila besar nanti.

Apa yang lebih penting, gesaan supaya anak-anak didedahkan dengan halal dan haram ini datang sendiri dari Baginda SAW yang bersabda sebagaimana diriwayatkan dari Ibnu Abbas, maksudnya:
“Beramallah dengan ketaatan kepada Allah, dan jauhilah maksiat kepada Allah, dan suruhlah anak-anak kamu supaya mematuhi perintah-perintah (Allah), dan menjauhi larangan-larangan (Allah), maka itulah pemeliharaan diri kamu dan diri mereka daripada azab api neraka” (Ibnu Jarir dan Ibnu Munzir)


Ketiga, bagi mengukuhkan iman kepada Allah, Baginda SAW meminta agar ibu bapa menyuruh anak-anak beribadat sejak dari kecil lagi. Seruan ini terbukti melalui sabdanya sebagaimana riwayat daripada Ibnu Amru bin Al-Ash r.a. bahawa Baginda bersabda, maksudnya:
“Suruhlah anak-anak kamu bersembahyang pada usia tujuh tahun, dan pukullah dia demi sembahyang pada usia sepuluh tahun, dan pisahkan antara mereka di tempat tidur.” (Al Hakim dan Abu Dawud)


Keempat, Rasulullah SAW meminta agar para sahabat dan sekalian umat Islam mendidik anak-anak supaya mencintai Rasulullah SAW serta keluarga Baginda. Kecintaan kepada mereka akan mendorong anak-anak untuk mengatahui lebih lanjut kisah kehidupan Baginda dan keluarganya. Seterusnya, anak-anak akan terbuka hati untuk menjadikan Baginda dan anggota keluarganya sebagai contoh teladan dalam kehidupan.


Kelima, Baginda juga menggalakkan umat Islam untuk mengajar anak masing-masing membaca dan menghayati al-Quran. Kecintaan kepada al-Quran adalah asas kepada ketekunan dalam menuntut ilmu dan mengamalkannya mengikut panduan Islam. Kelaziman bacaan al-Quran juga akan dapat mendekatkan diri anak-anak kepada Allah seterusnya menyuburkan lagi iman anak-anak.

Suruhan-suruhan Baginda SAW berkaitan mencintainya serta pembacaan al-Quran ini terkandung dalam sabda Baginda daripada Ali bin Abi Talib k.w. bahawa Nabi SAW bersabda, maksudnya:
“Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara: Mencintai Nabi kamu, dan mencintai keluarganya, serta membaca al-Quran. Kerana para pembaca al-Quran berada di sisi arasy Allah bersama-sama para anbiya’Nya dan ashfiya’Nya pada hari tida naungan melainkan naungan Allah sahaja.” (Al-Tabarani)


Kesimpulannya, anak-anak memerlukan didikan dan perhatian dari ibu bapa terutamanya dari sudut tarbiyah ruhani. Dalam melaksanakan tuntutan itu, lima panduan yang diberikan ini, seharusnya menjadi rujukan utama bagi memastikan usaha tarbiyah itu berjalan dengan berkesan.
Abi Muslih & Mama Farhah